7 Aug 2016

Satay, Nasi Himpit, Kuah Kacang yang sangat Sedap

Satay, Nasi Himpit, Kuah Kacang yang sangat Sedap -

Satay, Nasi Himpit, Kuah Kacang yang sangat Sedap
Resepi Oleh : Mamak Haji 
Sumber :  Azlita Aziz

Kuah Satay / Kuah Kacang
600 gm kacang tanah - digoreng, dibuang kulit
- Separuh blender halus dan separuh lagi tumbuk kasar dengan batu lesung.

Bahan Kisar
4 biji buah keras
1 sudu kecil serbuk jintan putih - di sangai dan kisar halus
1 sudu besar biji ketumbar - di sangai dan kisar halus
20 gm udang kering - rendam sebentar dan cuci bersih
5 biji bawang merah ros - belah 4 dan di goreng dengan sedikit minyak
3 ulas bawang putih - di belah 2 dan di goreng dengan sedikit minyak
20 tangkai cili kering - di goreng dengan sedikit minyak
3 batang serai - ambil bahagian putih sahaja
3 cm lengkuas
1/2 in belacan bakar

Penyediaan :
Sangai jintan dan biji ketumbar dahulu, angkat dan ketepikan.
Masukkan sedikit minyak dalam kuali dan goreng bawang merah dan bawang putih.
Setelah layur angkat dan ketepikan.
Kemudian goreng pula lada kering, jangan sampai hangus nanti kuahnya pahit.
Satukan semua bahan dan kisar halus.

Bahan Lain
1 cawan gula Melaka atau gula kabung
1/2 cawan minyak untuk menumis
1/2 cawan santan
1 batang serai - di titik
40 gm asam jawa - di campur air dan ambil jusnya
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya - anggaran 5 cawan bila di campur dengan air lebihan perapan daging
Air lebihan perapan daging

Penyediaan :
Panaskan sedikit minyak dan tumiskan serai yang telah di titik.
Kemudian masukkan bahan kisar dan masak hingga harum dan terbit minyak.
Masukkan air perapan daging, renihkan hingga terbit minyak.
Kemudian masukkan kacang tanah yang di tumbuk halus sedikit-sedikit sambil di kacau hingga kacang sebati dan betul-betul masak.
Jika kuah agak pekat, tambahkan air. Kuah satay akan memekat setelah sejuk.  Anggarkan sukatan air secukupnya.
Renihkan hingga mendidih.
Kemudian masukkan gula Melaka, air asam , garam dan gula secukup rasa.
Kuah satay yang sedap, rasanya kena manis-manis pedas baru sedap!
Akhir sekali masukkan santan.  Masak hingga kuah sedikit pekat.
Dah siap boleh lah di hidangkan bersama satay tadi.

Satay Daging atau Ayam

Bahan-Bahan
1 kg daging lembu atau ayam
3 sudu besar madu atau gula merah
2 sudu kecil garam
kayu lidi secukup dan direndam semalaman - ini untuk mengelakkan lidi hangus semasa proses membakar satay nanti

Bahan Kisar
8 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
3 cm lengkuas
3 batang serai dihiris - ambil bahagian putih saja
4 cm halia
3 cm kunyit hidup

Bahan Sangai - di tumbuk halus
2 sudu besar biji jintan manis 
2 sudu besar biji jintan putih
3 sudu besar biji ketumbar 

2 sudu besar minyak masak
2 sudu kecil garam dan gula secukup rasa

Penyediaan :
Potong daging bentuk kiub, jangan terlalu besar atau terlalu kecil. Jika besar sangat nanti masa bakar satay lambat masak. Kemudian cuci bersih dan toskan airnya
Gaulkan daging dengan madu, atau gula merah, bahan kisar dan bahan sangai,  Perasakan dengan garam dan gula secukupnya, gaul hingga sebati dan rata.
Perap sekurangnya 2 jam di dalam peti ais, sebaiknya semalaman supaya semua bahan perapan meresap dalam daging.
Cucuk daging yang diperap dengan lidi satay 3/4 bahagian lidi.  tekan sedikit dengan ibu jari dan jari penunjuk untuk meleperkan sedikit daging supaya senang masak. 
Sekiranya anda gunakan grill letrik, bentuk kiub lebih menarik dan tiada masalah. Kalau bakar secara tradisional perlu leperkan sedikit supaya daging masak luar dan dalam. 

Nota: Air perapan daging ini jangan dibuang, simpan untuk membuat kuah satay.

Pembakaran satay perlu beri perhatian kepada lidi yang tidak berisi daging. Api atau bahang panas tidak boleh di sasar pada batang lidi kerana di khuatiri batang lidi hangus terbakar. Oleh kerana daging cepat kering apabila di kenankan bahang api arang, maka gunakan minyak merenjis untuk disapukan atau di renjiskan dengan sebatang serai yang telah dijadikan seperti berus (cuma ketuk bahagian perdu serai memadai). Terbalikan satay dua atau tiga kali untuk daptkan warna satay yang menarik.

Minyak untuk disapu pada daging semasa bakar
1 biji buah keras - ditumbuk lumat
1 sudu besar gula
1 sudu besar air
1 sudu besar minyak masak
1 batang serai - di titik sebagai berus minyak

Satukan semua bahan kecuali serai dan kisar halus

Nasi Himpit

Bahan-bahan
200gm beras kampung
3 liter air
atau nasi himpit Nona

Cara :  Cuci beras 2-3 kali, Toskan.  Masukkan beras ke dalam air mendidih. Kacau sesekali biarkan sehingga beras hancur dan pekat. Tuangkan ke dalam bekas dan tekan padat.  Biarkan betul-betul sejuk.  Potong kiub dan hidang bersama satay.

Hidang Satay bersama nasi himpit, kuah satay, timun dan bawang

Satay, Nasi Himpit, Kuah Kacang yang sangat Sedap


Satay, Nasi Himpit, Kuah Kacang yang sangat Sedap shared from Kakwan Citarasawan
Republish by The CC Resepi

0 comments:

Post a Comment

 
;